OLEH: TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
tuan.buqhairah@sinarharian.com.my
FOTO: Azmi Aryanto
AKHBAR : Sinar Harian
Masihkah pembaca mengingati tanggal 3 Julai 1994? Pada tarikh
tersebut, satu peristiwa tergempar berlaku di negara ini, khususnya di
Puchong, Selangor. Penduduk Kampung Sri Aman, Puchong menyaksikan
kemunculan pertama buaya tembaga sepanjang 5.6 meter berjemur di sebuah
lombong sekali gus memeranjatkan orang ramai dan pihak berkuasa.
Pada 25 Mei 1997, buaya ‘gergasi’ yang diberi jolokan Buaya Puchong,
berjaya ditangkap kakitangan Zoo Melaka dan Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Haiwan reptilia itu jenis
spesies buaya tembaga (Crocodylus Porosus) kemudiannya dihantar ke Zoo
Melaka untuk dipamerkan kepada umum. Namun, usianya tidak panjang dan
tidak bernyawa pada 18 Jun 1997, iaitu pada usia yang dianggarkan 60
tahun. Ini mungkin disebabkan faktor tekanan dan tidak dapat
menyesuaikan diri di habitat baru.
Kisah Buaya Puchong hanya merupakan salah satu daripada beratus-ratus
tragedi di negara ini, termasuklah kisah yang membabitkan reptilia itu
di Sarawak yang terkenal dengan Bujang Senang. Kurator Muzium Alam
Semula Jadi Putrajaya, Degor Johia berkata, Pameran Misteri Sang Buaya
yang berlangsung pada kali ini menampilkan sesuatu yang menarik untuk
dilihat oleh pengunjung. “Selain Buaya Puchong, pameran ini turut
mempamerkan banyak buaya daripada spesies buaya tembaga (Crocodylus
Porosus) dan buaya jejulung (Tomistoma Schalegeliil,” katanya.
SI BUJANG SENANG
Degor berkata, buaya tembaga adalah reptilia yang terbesar di dunia
dan paling luas taburannya dalam keluarga buaya yang menghuni pantai,
muara sungai dan paya bakau. “Buaya ini agresif dan biasanya boleh
membesar sepanjang 16 kaki (5 meter),” katanya.
Menurutnya, buaya tembaga mempunyai pelbagai nama lain seperti
Bujang Senang, Buaya Samarahan, Buaya Katak selain Buaya Puchong.
“Kebiasaannya nama tersebut diambil sempena nama tempat buaya itu
dijumpai atau ditangkap,” katanya. Degor berkata, pengunjung pameran
ini berpeluang untuk melihat tengkorak Buaya Katak yang merupakan
tengkorak buaya paling besar dijumpai di Sarawak. “Berdasarkan saiznya,
keseluruhan panjang buaya ini dianggarkan berukuran kira-kira 21 kaki
panjang. Spesimen ini berasal dari Sadong, Sarawak dan telah diperoleh
melalui pembelian Muzium Sarawak pada 1921,” katanya.
Bujang Samarahan dipercayai berasal daripada keturunan Bujang Senang
di Sri Aman, Sarawak. Buaya pemangsa berukuran 14 kaki panjang ini
dianggarkan berusia lebih 60 tahun. “Mengikut kisah, buaya ini telah
menyerang dan membunuh seorang mangsa bernama Abang Saperi Saad, 42, di
Sungai Samarahan pada 29 Oktober 1993 namun dapat ditangkap dalam
operasi Merayau. “Sepupu kepada mangsa juga menyaksikan pembedahan yang
dilakukan ke atas buaya ini dan mengesahkan bahawa jam tangan yang
dijumpai itu milik mangsa,” katanya.
Penemuan Fosil
Degor berkata, buaya pemangsa ini kemudiannya dikupaskan kulit,
dirawat dan diawet selama dua minggu oleh Muzium Semula Jadi Sarawak
melalui kerja-kerja taksidermi. “Sebelum dipamerkan kepada orang ramai,
buaya ini menjalani penyediaan rawatan lanjutan selama sebulan,”
katanya. Buaya jejulung merupakan satu-satunya spesies dari genus purba
Famili Gavialidae yang masih hidup.
“Untuk mengenali buaya ini, ia mempunyai muncung yang panjang dan
bergigi tajam. Makanan utamanya adalah hidupan akuatik seperti ketam
dan ikan,” katanya. Menurutnya, buaya jenis ini tidak memakan monyet
dan manusia atau mamalia yang bersaiz besar disebabkan mulutnya yang
bermuncung. “Muncung panjang yang dimilikinya tidak sesuai untuk
membaham mamalia dan buaya jejulung ini tidak seagresif seperti buaya
tembaga,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail
berkata, pameran ini diadakan di Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya pada
26 November lalu sehingga 31 Januari 2012 untuk mengungkai segala
misteri sang buaya. Menurutnya, skop pameran ini merangkumi sejarah
awal kewujudan buaya, penemuan fosil yang membuktikan kewujudannya pada
zaman pra sejarah dan spesies buaya yang terdapat di Malaysia.
“Di sini juga pengunjung dapat mengetahui lebih lanjut mengenai
konflik sang bedal dengan manusia, kitaran hidup dan sifat semula
jadinya,” katanya. Beliau berkata, bersempena dengan cuti sekolah, JMM
berharap agar lebih ramai pengunjung mengunjungi pameran tersebut
sekali gus memberi pembelajaran dan pengetahuan. “JMM sangat
mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk melihat dan menyelami
misteri buaya secara lebih dekat,” katanya.
INFO MENARIK
- Buaya merupakan spesies leluhur yang sama dengan dinosaur, pterosaurs dan burung.
- Kewujudannya direkodkan seawal Era Mesozoik (245 hingga 65 juta tahun dahulu).
- Fosil seakan buaya terawal ditemui di dalam batuan sedimen yang berusia Trias Lewat (sekitar 200 juta tahun dahulu) di Eropah, Afrika Selatan dan Amerika Selatan.
- Untuk rekod, penemuan fosil buaya yang menyerupai ciri-ciri buaya moden adalah pada usia sekitar 80juta tahun dahulu (Zaman Kapur)
- Buaya terdiri daripada tiga famili iaitu Crocodylidae, Alligatoridae dan Gavialidae yang merangkumi 23 spesies mendiami kawasan tropika dan subtropika seluruh dunia.
- Famili buaya boleh dibezakan melalui bentuk mulutnya.
- Malaysia hanya mempunyai dua spesies daripada 23 spesies yang wujud iaitu buaya tembaga dan buaya jejulong.
- Buaya tembaga paling luas taburannya.
- Buaya jejulung satu-satunya genus buaya purba masih hidup dan kini diancam kepupusan.
- Spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.