Saturday, June 4, 2011

Penampakan...

Sewaktu senja masih samar - samar, aku terus melangkah menuju ke keretaku sekalipun azan Maghrib dari surau masih kedengaran memecah keheningan. Perlahan - lahan aku memandu keretaku keluar daripada kawasan perumahan. Matlamatku hanya satu, aku hanya inginkan kesunyian yang ku rasakan dapat menghindarkan aku daripada dihantui oleh suara - suara halus yang tidakku ketahui dari mana puncanya.

Kesamaran senja pada petang itu menampakkan pohon - pohon kayu berbalam - balam di sekitar kawasan gunung yang jauh dari penglihatanku. Aku memandu keretaku dengan berhati - hati walaupun kawasan yang aku lalui itu amat sunyi dan jarang sekali aku lihat kenderaan lain melaluinya. Semasa melalui selekoh, aku melihat seorang lelaki tua berjubah putih ingin melintas jalan. Aku terkejut lalu menekan brek keretaku dan berhenti. Hajat di hatiku ingin hendak membantu lelaki tua tersebut lalu akupun membuka pintu. " Boleh saya tolong pakcik? tegurku". Orang tua tersebut tidak berpaling. Tubuhnya kelihatan kurus disamping memakai jubah yang compang - camping sambil tangan kirinya memegang tongkat.

Orang tua tersebut tidak juga menyahut. Dia masih lagi berjalan dengan perlahan seolah - olah aku tidak wujud disisinya. Berdebar juga hatiku kerana orang tua tersebut mendiamkan diri sahaja. Aku terus saja mendekati lelaki tua itu dan memegang bahu lelaki tua berkenaan. " Mari saya tolong ya pakcik? aku menyapanya". Perlahan - lahan lelaki tua itu berpaling. Apabila wajah kami bertentangan, bagaikan duniaku gelap tidak bermaya. Lelaki tua yang aku ingin bantu itu, rupa - rupanya tidak mempunyai muka. Aku terus mengundurkan diriku sedikit demi sedikit dan berpaling menuju ke keretaku. Aku bertambah terkejut di saat aku memandang dimana lelaki tua itu berada, lelaki tua itu hilang dari pandanganku. Aku terus menutup pintu dan memecut keretaku berlalu pergi. Di saat aku memandu keretaku, kedengaran suatu suara berbisik kepadaku, " Itulah aku".......